Mereka yang Kool :)

Tuesday, September 25, 2012

Satu Langkah.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Terima kasih ya Allah atas rasa ini. Hari ini.
Moga imanku yang memimpin langkahku yang kerdil ini
Bukan nafsuku
Bukan dosaku
Bukan hitam pekat jahiliyyahku

Ps: Alhamdulillah jika sudah ketemu. Moga bahagia hingga syurgaNya. Indeed, inspired when reading those words from heart. Bahagianya kalau i'm the 'one'? ^_^

WAJIB Baca Jika Anda Rasa Anda Pemuda!



http://zaadut-taqwa.blogspot.com/
Ucapan Ustaz Umar at-Tilimsani kepada pemuda

Ini merupakan ucapan terakhir Ustaz Umar, mujahid yang telah berangkat menemui Tuhannya, ucapan yang ditujukan kepada pemuda pada pertemuan tahunan terakhir di Kaherah sebelum beliau menghembus nafas terakhir beberapa bulan selepas itu.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas khatam al-anbia' dan al-mursalin, Sayyidina Muhammad, ahlinya dan sahabat-sahabatnya.

Wahai anak-anak yang dikasihi lagi disayangi

Kekuatanku telah longlai, kesihatanku telah lemah, penyakit dan kesakitan timpa menimpa. Benteng kesejahteraan tiada lagi mampu melawan.

Tetapi, ketika aku dijemput menghadiri haflah atau perhimpunan dan aku diberi ruang untuk bercakap kepada pemuda, tiba-tiba aku bagaikan direntap keluar dari kelemahan kepada kekuatan, dari sakit kepada sihat. Seluruh jiwa raga dilimpahi kebahagiaan kerana aku akan bertemu dengan pemuda yang merupakan bekalan bagi umat ini untuk masa kini dan hari-hari mendatang.

Dan sekalipun kamu pernah mendengar aku bercakap kepada kamu lebih daripada satu kali di mana aku tidak bercakap kecuali tentang keselamatan, keamanan dan kestabilan, jangan menunjuk perasaan, jangan melakukan kerosakan dan elakkan pertembungan. Sekalipun semua itu, aku tidak mengetahui apakah faktor yang menjadikan aku dihalang daripada bercakap kepada para pemuda. Aku tidak dijemput menghadiri suatu perhimpunan untuk bercakap kepada pemuda kecuali aku disekat. Hanya inilah peluang yang dapat diterobos. Itupun aku tidak tahu bagaimana ia datang?

Wahai pemuda!

Sesungguhnya orang yang berada di sekeliling Rasulullah s.a.w. adalah dari kalangan pemuda!! Umar r.a. berusia 26 tahun. Talhah bin Abdullah, az-Zubair bin al-Awwam, Ali bin Abi Talib, semuanya dari kalangan pemuda. Dan kamu adalah pemuda.

Bahkan lebih daripada itu, Rasulullah s.a.w. telah melantik menjadi pemimpin di Najran seorang sahabat bernama Abdullah bin Hazm al-Ansari. Baginda mengutus Abdullah ke Najran untuk mengajar penduduknya agama, mengajar mereka menghafaz al-Quran dan memungut zakat daripada mereka. Tahukah kamu berapa umur sahabat tersebut? 17 tahun. Pemuda yang berumur 17 tahun mengajar agama, menghafazkan al-Quran dan memungut zakat. Inilah yang sedang kita usahakan dengan sungguh-sungguh sekarang.

Dakwah Ikhwan Muslimin tidak mencari dan tidak mengingini kecuali untuk melihat sirah serta sunnah Rasulullah s.a.w. terlaksana di negeri ini kerana wilayah ini, dari Iraq ke Maghribi adalah wilayah Islam.

Kita adalah kaum muslimin, dari Indonesia ke Maghribi. Adapun dakwah qaumiyyah arabiyyah (kebangsaan Arab) yang dengannya mereka hendak memesongkan kita dari Islam sedikit demi sedkit, sekali-kali tiada tempat di kalangan kita, kaum muslimin.

Kita adalah muslimun sebelum yang lain-lain sekalipun negeri tempat tinggal kita berbeza. Kita adalah ummah muslimah sebagaimana firman Allah bermaksud:“Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” Al-Anbiaa’:92“Dan sesungguhnya ugama Islam ini ialah ugama kamu – ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.” Al-Mu’minun:52

Inilah hakikat yang kita berusaha keras ke arah merealisasikannya. Dan aku tidak mengetahui kenapa pemuda muslim yang memikul dakwah kepada Allah ini diperangi?

Semua pertubuhan, semua parti ada di dalamnya pemuda. Semua pertubuhan menggesa pemudanya supaya bergerak aktif. Sehingga parti kebangsaan yang memerintahpun ada di dalamnya pemuda dan dipanggil dengan gelaran yang khusus. Kenapa hanya pemuda yang berdakwah kepada Allah sahaja yang disekat dan dihalang dari dakwahnya?

Namun, dalam semua situasi itu, aku tetap menasihatkan diriku dan diri kamu agar bersabar, tabah dan kuatkan tekad menghadapinya. Jangan memberontak kerana tidak itu mendatangkan kebaikan kepada dakwah. Yang beruntung hanya musuh-musuh negara ini.

Wahai pemuda:

Kamu memikul dakwah yang paling suci dalam kehidupan ini. Dan kamu diiktiraf oleh semua golongan. Aku mendengar dengan telingaku sendiri pujian kepada kamu. Aku mendengar sebutan yang baik tentang kamu. Aku mendengar kata-kata yang membicarakan keikhlasan kamu, kegigihan dan kesungguhan kamu. Tetapi aku mendengar semua itu dalam majlis-majlis yang tertutup. Apabila orang yang bercakap tentang kebaikan kamu itu keluar di tengah-tengah masyarakat, aku mendengar mereka menuturkan ucapan yang berbeza. Mereka memerangi jamaah Islam, bertindak keras ke atasnya dan memanggilnya pengganas. Mereka lakukan begitu dalam keadaan mereka tahu tentang kamu, tetapi mereka menyembunyikannya. Kenapa?

Mungkin aku tahu dan mungkin juga aku tidak tahu. Kalaupun aku tahu, di sana ada sesuatu yang menghalang aku untuk berterus terang mengatakannya. Bukan semua yang diketahui itu mesti diucapkan. Dan sekiranya aku tidak tahu, maka itu merupakan kelemahanku sebagai manusia yang tidak mengetahui sesuatu yang ghaib. Sesungguhnya yang ghaib itu tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah s.w.t.

Wahai pemuda:

Sesungguhnya apa yang aku minta daripada kamu, dan kami adalah generasi yang telah mendahului kamu, iaitu kami bawa kepada kamu bendera ini. Kami telah menanggung pelbagai siksa dan sengsara ketika membawanya. Kami dibunuh, dihalau, disera, dipenjara dan sebagainya. Bukan aku berkata begitu. Mahkamah-mahkamah jenayah Mesir yang mengakuinya, di mana setengah prosidur dan penghakiman yang berlaku pada masa itu amat-amat memalukan.

Itulah yang telah kami hadapi dan kami tanggungi. Adakah ia menjejaskan keazaman kami walau sekelumit?

Sesungguhnya Ikhwan keluar dari setiap mihnah (tribulasi) dengan semangat yang lebih kuat daripada ketika mereka masuk ke dalamnya. Kerana dengan mihnah itu terbongkarlah hakikat mereka (Ikhwan), manusia mengenali tentang mereka. Mereka adalah rijal, pemuda yang memikul dakwah paling suci, mereka menyeru manusia ke jalan paling lurus, mereka menarik keluar umat Islam dari Iraq ke Maghribi dan di tempat-tempat lain dari lembah kehinaan akibat membelakangi kitab Allah s.w.t.

Kami sebutkan kata-kata ini kepada kamu, kami ajarkan kamu dan kami dedahkan kepada kamu pengalaman kami pada masa lalu.

Kenapa kita ditindas? Bukankah kita berada di dalam zaman orang bercakap tentang demokrasi? Sekalipun aku tidak mengiktiraf perkataan demokrasi, tetapi aku tahu kebebasan di dalam Islam. demokrasi adalah ciptaan manusia, sedangkan kebebasan adalah satu daripada anugerah Allah. Alangkah jauhnya antara keduanya.

Demokrasi yang kita perkatakan tentangnya, apabila kita bandingkan dengan demokrasi yang berlaku di luar sana sangat pelik. Terlalu pelik.

Aku mengenali setengah negara beraja yang diperintah oleh seorang raja, sesiapapun dari kalangan manusia, di mana-mana tempat yang jauh dari kesesakan jalan, boleh mengkritik raja dan pemerintahannya, dan tiada siapapun yang mampu menghalangnya.

Adapun di sini, kita mencari satu medan kita tidak menemuinya, kita menyewa satu ruang, pintu ditutup di hadapn kita. Maka di manakah yang dikatakan demokrasi?

Aku yakin kamu tahu atau kamu baca sebagaimana kami telah baca bahawa telah sabit kesalahan presiden Amerika Syarikat bahawa dia melakukan intipan ke atas parti lawan. Maka kes itu menjadi sebab dia meletakkan jawatan presiden USA kerana itu dianggap telah melanggar sempadan sistem demokrasi.

Aku tidak mengetahui bagaimana kita hidup?

Di pintu pejabat, mata-mata gelap berlegar di dalam dan di luar, termasuk di rumahku juga. Tetapi aku tidak menoleh kerana tidak penting bagiku sama ada aku tetap berada di rumah atau di penjara. Kedua-duanya sama sahaja bagiku. Sesungguhnya aku, dengan rahmat Allah, telah menyerahkan urusanku dan ruhku kepada Allah s.w.t. Dialah yang melakukan apa yang dikehendakiNya. Semua tindakan mereka tidak penting bagiku.

Di setiap tempat telefon diawasi. Kenapa? Adakah kita ini musuh kepada Mesir? Adakah kita ini musuh kepada tanah air ini? Sebenarnya kitalah warga yang paling ikhlas kepada tanah air ini. Kitalah orang yang mengembalikan keamanan, kestabilan negeri ini sehingga presiden mampu bergerak di jalan-jalan dan lorong-lorong di Kaherah dengan berjalan kaki tanpa rasa takut, tanpa dikawal oleh ribuan pasukan keselamatan untuk menjaga keamanan jalan-jalan. Kenapa? Adakah kita telah kehilangan kepercayaan kepada satu sama lain? Adakah presiden tidak percaya kepadaku dan aku tidak percaya kepadanya.

Kami percaya kepada presiden, tetapi mereka?

Kami tidak menyeru kepada menggulingkan kerajaan. Kami menyeru kepada mengislahkan kerajaan. Kalau ditawarkan kepada kami kementerian, kami menolaknya kerana kami tidak meminta kerajaan, tetapi kami meminta kerajaan yang adil, siapapun yang menerajui pemerintahan ini.

Wahai pemuda:

Nasihatku kepada kamu, peganglah dakwah ini. Peganglah hingga ke titisan terakhir darah kamu, sehingga ke detik terakhir nafas kamu. Berpeganglah dengan janji Allah. Berpeganglah dengan tali Allah yang kukuh. Tidak ada tempat kembali, tidak ada tempat selamat kecuali dengan kembali kepada Allah s.w.t.

Seandainya kerajaan-kerajaan di zon ini berpakat untuk sesuatu perkara yang mendatangkan faedah kepada tanah air mereka, nescaya keadaan ini akan berubah, nescaya kedudukan zon ini akan bertukar, nescaya kita menjadi satu kekuatan yang benar-benar dipandang orang, nescaya Israel, Amerika dan Russia tidak akan mampu membuat kerosakan di benua kita atau mengacau bilaukan maruah kita serta kehurmatan kita sebagaimana yang sering kita baca di akhbar-akhbar.

Wahai pemuda:

Aku menasihati kamu, khususnya para siswa supaya kamu berpegang kepada akhlak yang mulia dengan guru-guru kamu di kuliah-kuliah. Jangan berbuat perkara yang tidak baik terhadap guru, jangan bersikap kasar walaupun mereka tidak sealiran dengan kamu.

Wahai pemuda:

Kami kemukakan hal ini kepada kamu, dan kami menegaskan bahawa para duat kepada Allah sering menghadapi pelbagai ujian. Sesiapa yang benar-benar bersedia untuk menjual dunia ini dan membeli akhirat, membeli syurga yang lebarnya antara langit dengan bumi, maka masukilah medan ini, pikullah kalimah Allah, katakanlah kebenaran dengan beradab, dengan matang, rasional, jelas dan berlandaskan hujjah. Dan usah peduli apa yang akan menimpanya selepas itu.

Tidak ada sesuatupun yang berlaku di dalam alam ini kecuali mengikut ketentuan Allah s.w.t.

Demi Allah, jika kita bertasbih dengan memuji para pemerintah siang dan malam, pada hal mengikut ketentuan Allah kita akan masuk penjara, kita tetap akan masuk penjara. Dan kalau kita tegur mereka siang dan malam dengan teguran yang membuatkan mereka rasa tertekan, pada hal tidak ada dalam ketentuan Allah kita akan masuk penjara, kita pasti tidak akan masuk penjara.

Semua perkara di dalam alam ini mengikut ketentuan Allah sejak azali, pada hari Dia menciptakan langit dan bumi dan menurunkan manusia di muka bumi ini. Semuanya telah tertulis, apa yang akan menimpa manusia seorang, seorang. Dia mengetahui setiap peristiwa yang akan berlaku satu persatu. Maka kenapa kita takut?

Menunjuk perasaan dengan kekuatan, mencela guru-guru, membaling bangunan universiti dengan anak batu, memecah dan meruntuhkan, semua itu bukan akhlak pendakwah Islam. Pendakwah kepada Allah ialah pendakwah kesejahteraan dan keamanan. Aku tidak dapat menggambarkan pemuda yang menyeru kepada Allah, pemuda yang di dalam hatinya mantap kefahaman tentang dakwah kemudian dia mengganas, meruntuhkan, memukul dan mengasari.

Agama ini adalah din yang sejahtera. Muhammad s.a.w. adalah rasul kesejahteraan. Allah s.w.t. antara NamaNya yang Husna ialah as-Salam.

Wahai pemuda:

Kita hanya wajib melaksanakan apa yang diwajibkan ke atas kita melaksanakannya. Adapun natijah adalah milik Allah s.w.t.

Kamu membaca di dalam al-Quran ayat (dan katakanlah: beramallah) dan kamu tidak akan temui satu ayatpun, yang terdapat perintah supaya kita tanggung natijah amal kita. Kita wajib beramal, kita jangan memandang lamanya masa, atau kita berkata telah berlalu puluhan tahun, namun kita tidak juga sampai kepada natijah. Sesungguhnya kita telah melalui perubahan yang sangat banyak. Pada permulaan dakwah ini, tuntutan supaya melaksanakan Syariat Allah merupakan satu jenayah. Seseorang ditangkap dan dibicarakan kerana tuntutan ini. Dan dakwah terus bergerak dan bergerak ke hadapan sehingga sekarang ini kamu telah baca bahawa semua parti politik di Mesir, ketika mereka mengemukakan hasrat memasuki pilihanraya yang lalu, agenda pertama yang mereka bawa ialah melaksanakan Syariat Islam. Ini merupaka satu kejayaan yang tidak terbatas. Kejayaan yang sangat besar kepada dakwah Ikhwan Muslimin. Perlembagaan negara mengandungi peruntukkan berikut:"Agama rasmi bagi negara adalah Islam". Ungkapan ini sebenarnya tiada makna kerana kita adalah umat Islam. Namun dakwah Ikhwan Muslimin menggesa kerajaan agar menyebutkannya di dalam perlembagaan. Dan tertulislah di dalam perkara dua: "Bahawanya Syariat Islam adalah sumber utama perundangan bagi negara ini".

Justeru, kita sebenarnya menapak ke hadapan langkah demi langkah secara perlahan-lahan. Dan ketika aku mengadakan pertemuan akhir-akhir ini dan membincangkan tentang pelaksanaan Syariah di dewan rakyat dan pendapat Ikhwan mengenainya, mereka menyatakan pandangan mereka: kami tidak mahu menekan dan menyusahkan. Kami menyeru supaya diperundangkan Syariah Islam secara perlahan-lahan supaya tidak timbul kekeliruan.

Setengah hakim, peguam dan wakil-wakil rakyat tidak mengkaji Syariah Islam. Majority terbesar dari kalangan mereka tidak tahu langsung tentang pengajian Islam. Maka bagaimana aku hendak menuntut satu kaum yang tidak belajar tentang sesuatu supaya melaksanakannya? Jadi kita wajib menghadapi dengan lembut, sedikit demi sedikit sehingga mereka menghayati apa yang kita serukan kemudian mereka menjalankan peranan mereka sebagaimana yang sepatutnya mereka jalankan.

Wahai pemuda:

Aku menyeru kamu supaya bersabar dengan kesabaran yang cantik (sobrun jamil). Sobrun jamil itu ialah kesabaran yang tiada sungutan bersamanya. Tidak ada ungkitan dan tidak ada putus asa kerana Allah s.w.t. berfirman maksudnya: (Dan kesudahan (yang baik) itu untuk orang yang bertaqwa).

Wahai pemuda:

Sesungguhnya peranan kamu sangat besar dan sangat penting. Dan pandangan kamu tentang semua perkara mestilah didasarkan kepada kajian dan penelitian yang sangat teliti. Aku bersumpah dengan sumpah yang benar di mana aku tidak berdosa dengan sumpah tersebut bahawa sekiranya kita melkasanakan Syariah Allah di negeri ini, sudah tentu keadaan akan berubah dengan suatu perubahan yang tidak pernah digambarkan sama sekali oleh mana-mana insan. Inilah peranan kamu. Inilah tanggungjawab kamu.

Kamu sebagai penuntut, doktor, peguam atau jurutera, kamu ada kawan-kawan, ada keluarga, ada saudara mara yang boleh kamu mantapkan kefahaman ini di persekitaran kamu, tempat kamu tinggal dan bekerja.

Ini satu lagi manifestasi yang indah yang kita lihat berlaku di kalangan kaum wanita. Pernahkah kita lihat pemandangan seperti ini sebelum tersebarnya dakwah Ikhwan? Atau pemandangan yang hampir serupa dengannya? Sesungguhnya aku belajar di fakulti undang-undang tahu 1931. Di situ hanya terdapat seorang sahaja pelajar perempuan, tetapi sedihnya dia tidak memakai pakaian keislaman.

Hari ini kita lihat di fakulti perubatan, kejuruteraan dan pertanian di sebuah universiti, malah di semua unversiti, mahasisiwinya beriltizam dengan pakaian Islam sepenuhnya. Ini adalah satu kurniaan Allah hasil dakwah Ikhwan Muslimin.

Oleh itu aku menyeru kamu wahai ikhwah, janganlah kamu berpada hanya sekadar menjadi akh muslim, atau berpuas hati sekadar dirinya telah bersolat, berpuasa dan bermujahadah. Jangan! Menyebarkan dakwah itulah yang dituntut daripada kamu, setiap orang. Maka, awas kamu! Jangan berlengah, jangan bermalas, jangan berasa berat untuk melaksanakan kewajipan ini. Awas! Jangan kamu tanggalkan baju yang telah dipakaikan Allah kepada kamu dengan memilih Muhammad s.a.w. sebagai ikutan dan pemimpin kamu.

Wahai pemuda:

Aku wasiatkan kamu agar bersabar. Aku bercita-cita kalaulah aku dapat berbicara dengan kamu lebih banyak daripada ini, atau aku dapat ucapkan semua yang ada padaku. Namun, sayang sekali aku tidak mampu.

Aku mengucapkan kata-kataku ini dan memohon ampun kepada Allah untuk diriku dan kamu. Aku serahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat akan hamba-hambaNya.

Umar at-TilimsaniAl-Mursyid al-'Aam lil-Ikhwan al-Muslimin.

Sumber:http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=118751&SecID=373

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"

Monday, September 17, 2012

Sebab Saya Ada Mata Maka Saya Lihat

Dengan nama Allah yang Maha Mengasihi Maha Menerima Taubat, Maha Mulia :)

Jika kita terasa geram atau kecewa dengan jahiliyyah di depan mata, ketahuilah , bersyukurlah, kerana ALLAH masih memilih kita untuk mengubah mereka! [kredit]

Aku lihat
Satu persatu
Seorang demi seorang
Insan di hadapan aku
Tika itu
Seronok sungguh mereka
Bergelak ketawa
Saling 'berukhuwwah' 

Dalam ruang itu
Aku lihat lagi
Satu persatu peristiwa
Yang terjadi
Gembira
Sedih
Geram
Kecewa

Bukan aku tak pernah mengeluh
Bukan aku tak pernah menangis
Bukan aku tak pernah merungut

Aku lihat sekali lagi
Aku terasa asing
Aku terasa keseorangan
Mungkin
Lebih tepat lagi
Aku loser

Aku hidup
Hari ini
Aku lihat mereka
Aku nampak diri aku
Aku nampak jelas diri aku siapa

Di sana
Aku nampak jelas Islam itu
Bukan Muslim itu
Tak perlu jauh-jauh
Tak perlu luar negara
Untuk aku tafsir
Untuk aku belajar

Hari ini
Selama aku masih hidup
Aku lihat sekali lagi mereka
Yang kosong dalam tapi penuh di luar
Fizikalnya
Aku tahu aku sorang
Aku tahu takda mereka yang menemani
Hakikatnya
Aku sedar DIA ada
Aku sedar dia pun ada
Aku yakin
DIA tolong, DIA bantu

Jika esok aku sudah tiada
Sekurang-kurangnya aku tahu
Aku berusaha aku tekad
Aku ingin ubah mereka
Walaupun tak ramai
Cukuplah ada hati yang terkesan
Kerana syurga itu 
Buat mereka juga
Bukan untuk aku seorang
Bukan untuk asatizah sahaja

Dan ini
Nukilan ini
Buat mereka
Jika sahaja
Mereka mengerti.

ps: Post paling pendek mungkin dalam sejarah Diari Bulatan Gembira. Saya mohon kekuatan dari Allah SWT dan bantuan anda untuk et lis mendoakan saya. I really need the support system, damn seriously. 

Wallahualam
 



Monday, September 10, 2012

Hikayat Biskut yang Lemau

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang

[Nota secebis]: Menulis dengan satu rasa. Hanya Dia yang Maha Tahu.

Biskut raya? Err. [Kredit]
Alhamdulillah, tsumallhamdulillah. Masih lagi Allah beri satu hari untuk teruskan taubat nasuha kepadaNya. Mutabaah amal bagaimana? Masih kuat, kukuh dan utuh ?

Tika ini serasa mahu meminjam bahu akhawat-akhawat sekalian, menangis puas-puas. Ya, tarbiyah Allah datang dan datang lagi. Kali ini, saya tahu benar, mengapa DIA menguji. 
Seperti yang anda sedia maklum, atau mungkin tak berapa maklum, saya tak kisah pun, hehe... Bercuti di rumah merupakan satu perkara yang sangat ekstrem bahayanya! Iman yang berbunga-bunga boleh layu dan ibarat biskut Chipsmore kurang gula yang semakin lemau kerana tak disimpan dalam Tupperware. Eh.

Ya! Tika kaki ini melangkah ke waqi' yang baru, rasa macam batu menghempap kepala. PAMMMM! Ya, sebagai daie, mana ada jalan singkat nak dapat syurga yang bawahnya mengalir air-air sungai, ditemani bidadara yang kacak wallah! Hehe. Jika dahulu, saya pernah post mengenai Ghuraba' atau Asing. Ya, menjadi asing itu amatlah payah dan hati mesti mahu kuat maaaa...!

I really mean it. [Kredit]
 Tatkala kita di temani insan-insan yang hanyut, hanyut dan jauh, jauh sangat sangat dari Allah, dengan jahiliyyah yang sumpah pekat likat! Kita tertanya-tanya, mengapa mereka begitu? Mengapa tidak begini? Mengapa susah sangat nak ikut acuan dan celupan Allah? Whyyy whyyy whyyyy...?

Ya, mungkin bukan 'kita' yang rasa semua ini. Mungkin pada ketika ini, saya yang merasainya. Dan alhamdulillah, Dia sentiasa kuatkan saya. DIA sentiasa di sebelah saya. Lalu, hamba hina ini masih mahu menyoal? Kadang kita terlupa apa tugas kita di bumi, kita lupa mengapa naqibah kita bermati-matian mahu menjaga kita dengan bulatan gembira yang sumpah osem itu, kita buat-buat leka dengan 7 maratib amal.

Hoi! Bukan nak bina tangga hotel lah! Kita nak capai Ustaziyatul Alam tu! Ingat main-main?

Ok. Over sikit. Huhu.

Dan kerana lama menjadi biskut yang lemau di rumah, sekarang nah! Hambek kau. Allah suruh keluar! Tengok realiti ummat Islam di sekeliling. Siapa yang hanyut, siapa yang tidak. Siapa yang pentingkan redha manusia, siapa yang dahulukan redha Allah?

Saya bertekad! Kawasan itu akan saya takluk dengan Islam! Biidznillah! 

''Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak pula menyerah kepada musuh. Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar''
[Ali Imran 3: 146]

Err anda. Boleh ambilkan tisu Premier di tepi meja itu? Saya rasa mata berpeluh. ;)

[Credit]
 Dan...
Allah tetap bersama kita. Bersama saya. Hingga akhir hayat saya, saya cintakanNYA. 

ps: Maaf jika entri kali ini tidak menyentuh hati anda. Tapi ia menyentuh hati saya. Daie kene memahami perasaan orang lain, bukan? Hehe. Dan... Errr... Boleh anda beri saya kata-kata semangat? Demam saya sudah seminggu dan belum kebah. Hehe. Jazakumullahu khairan katheera.

Wallahualam
 
Daisypath Happy Birthday tickers